Pelancong dari Bengkalis selamat tiba di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KOTA LAKSAMANA 14 Jun – Feri Mulia Kencana 19 yang membawa kumpulan pertama pelancong dari Bengkalis, Indonesia selamat berlabuh di Kompleks Imigresen, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) di Kota Laksamana, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Feri yang membawa kira-kira 200 penumpang itu berlepas dari Bengkalis pada pukul 11 pagi.

Ia dikatakan mampu menampung kapasiti 300 penumpang setiap kali pelayaran yang dijadual empat kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, ketibaan penumpang dan krew feri disambut kakitangan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri dengan sapaan mesra dan diberikan kit Selamat Datang.

Keberadaan petugas kesihatan di situ juga memastikan setiap penumpang mematuhi syarat keselamatan kesihatan terutama melengkapkan dokumen pas lawatan pengembara dan mempamerkan mySejahtera.

Kompleks ICQS Kota Laksamana mula rancak menerima kunjungan pelancong dari Indonesia, bermula dari Dumai pada bulan lalu sejak penutupannya pada Mac 2020 rentetan penutupan pintu sempadan kedua-dua negara.

Bermula 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April, yang antara lainnya pembukaan sepenuhnya sempadan negara.

Ia sekali gus menjadikan negara beralih ke fasa peralihan ke endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2452
Kongsi :
Previous post Warga Indonesia gembira dibenarkan bekerja semula di Malaysia
Next post NAFAS, Angkasa bantu kerajaan tangani kenaikan harga ayam, bekalan makanan – PM
Ubah saiz-+=