Sorting by

×

WRUR DUYONG BAWA PENDEKATAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

DUYONG 12 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang bermula esok hingga 26 Julai ini akan menampilkan beberapa pendekatan baharu yang lebih inklusif.

Ia tidak lagi memberi tumpuan kepada jumlah atau bilangan program, sebaliknya lebih berfokus kepada pengisian memberi impak untuk rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Beliau memaklumkan, sepanjang dua minggu berkampung di Duyong, program dan aktiviti yang dirangka tertumpu kepada keperluan masyarakat di kawasan berpopulasi lebih 36,000 penduduk itu.

Pada masa sama, ujar beliau, program-program tersebut juga berpaksikan kepada aspirasi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan membawa seluruh wakil rakyat dan agensi turun padang ke setiap kawasan.

Beliau berkata, persediaan awal telah dilakukan bagi menyusun program yang sesuai dengan keperluan warga Duyong membabitkan hampir keseluruhan kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Duyong merupakan lokasi keenam WRUR, jadi kita telah belajar daripada penganjuran edisi sebelum ini dan oleh itu kita ubah sedikit pendekatan supaya objektif utama program ini dapat dicapai.

“Selain program, kita juga memberi tumpuan kepada tumpuan utama WRUR untuk menyelesaikan aduan dan masalah rakyat oleh itu, kita telah mengumpulkan segala aduan-aduan ini dan akan mencari jalan penyelesaiannya sepanjang WRUR berlangsung.

“Pada masa sama, menerusi program ini, kita juga mahu menghebahkan bahawa kerjasama di antara pemimpin, agensi dan rakyat amat penting dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Mohd Noor Helmy, pembukaan WRUR DUN Duyong bakal diadakan di Taman Seri Duyong 2 dan seterusnya, ia akan menjelajah ke lokasi berbeza, antaranya Desa Duyong, Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit dan penutupnya di Dewan Terbuka Semabok Dalam.

“Sepanjang tempoh itu, setiap hari akan diadakan kepelbagaian program di pelbagai kawasan termasuklah membabitkan program keagamaan di masjid dan surau.

“Malah, akan ada juga program bersama agensi-agensi yang akan diadakan mengikut kesesuaian di Duyong dan saya mengharapkan setiap program itu memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, antara program peringkat negeri yang dijadual berlangsung sempena WRUR DUN Duyong adalah Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post PAKEJ ‘SUNSET CRUISE’ TAWAR SUASANA ROMANTIK DAN SANTAI
Next post BERITA GEMBIRA BUAT PESAWAH DUN KLEBANG