
WRUR: KM MAHU BANTU ‘STABURA’ MILIKI DEWAN UNTUK KESELESAAN 1,700 MURID
KLEBANG 17 Oktober – Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai (STABURA) yang merupakan sekolah rendah dengan bilangan murid teramai di Melaka iaitu seramai 1,700 murid akan dibantu sewajarnya dalam sudut infrastruktur.
Itu komitmen yang dizahirkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Menurut beliau, antara keperluan yang diperlukan adalah pembinaan dewan terbuka di sekolah berkenaan bagi keselesaan guru dan murid dalam penganjuran pelbagai program.
“Saya beri perhatian perkara ini dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman ambil maklum dalam membantu sekolah ini mendapatkan dewan baharu.
“Kita mahu pastikan keselesaan murid dan guru sentiasa diberi perhatian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mural Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat di sekolah berkenaan.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyatakan rasa bangga kepada STABURA yang telah berjaya meraih pelbagai kejayaan, khususnya mengharumkan nama Negeri Melaka dalam bidang sukan.
Beliau berharap, dengan semangat Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat yang dizahirkan di sekolah ini, lebih banyak pencapaian dan kejayaan dapat dilakar oleh anak Melaka, khususnya mereka yang datang dalam DUN Klebang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.