
WRUR MEDAN DENGAR SUARA HATI RAKYAT DUYONG
DUYONG 13 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menjadi medan untuk mendengar suara hati rakyat di kawasan itu.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berharap program yang diadakan selama dua minggu itu dapat dimanfaatkan seluruh warga Duyong untuk menyuarakan segala permasalahan, selain mengenali peranan sebenar setiap agensi dan jabatan kerajaan.
Menurut beliau, WRUR yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga bertujuan untuk merapatkan jurang di antara pemimpin serta agensi dan jabatan dengan rakyat, sekali gus menepis stigma negatif yang menganggap wakil rakyat itu bersifat ‘VIP’ dan ketua jabatan bersifat eksklusif.
“Antara harapan saya adalah untuk melihat aspirasi Ketua Menteri sampai kepada rakyat dan setiap agensi dapat menyentuh hati masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.
“Jadi, saya berharap seluruh warga Duyong dapat menggunakan peluang dan saluran ini untuk kebaikan bersama supaya kita bukan sahaja dapat menyuarakan segala aduan, bahkan dapat mengenali setiap peranan agensi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program WRUR DUN Duyong yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Dewan Taman Seri Duyong 2, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin bersama Timbalannya, Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, pelbagai program telah disusun sepanjang 14 hari WRUR berkampung di Duyong, di mana ia akan menjelajah ke segenap pelusuk DUN dengan pengisian yang berbeza mengikut demografi kawasan.
Jelas beliau, antara yang dibawakan adalah program berbentuk karnival rakyat yang dipecahkan mengikut kluster aktiviti antaranya keagamaan, sukan dan lain-lain lagi.
“Pengisian paling utama adalah Hari Bertemu Rakyat yang akan diadakan pada kemuncak WRUR DUN Duyong iaitu pada 26 Julai nanti di mana, pada hari itu seluruh Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat serta jabatan dan agensi akan berkumpul bagi menerima aduan secara langsung daripada rakyat dan seterusnya mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.