
WRUR: PENDUDUK AMBIL PELUANG LUAH ISU SECARA TERUS DI HARI ADUAN RAKYAT
KLEBANG 17 Oktober – Pelbagai isu disuarakan orang awam pada Hari Aduan Rakyat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, di sini, hari ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, orang awam termasuk penduduk sekitar DUN Klebang mula mengunjungi lokasi program seawal jam 2 petang bagi mengemukakan aduan secara terus kepada pemimpin dan agensi kerajaan terlibat.
Program yang bermula dari jam 3 hingga 6 petang itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta lebih 35 wakil agensi Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta kenamaan lain.
Pada Hari Aduan Rakyat itu lebih 11 kaunter dibuka yang melibatkan Exco serta agensi di bawah portfolio Exco bersama-sama bagi mendengar luahan pelbagai isu dikemukakan rakyat.
Lebih 200 pengadu tampil menzahirkan aduan melibatkan pelbagai isu termasuk permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), pembaikan jalan, paip pecah, pembaikan rumah dan lain-lain.
Menariknya, bukan sahaja penduduk tempatan hadir, malah turut disertai pengadu dari DUN lain seperti Bukit Baru, Merlimau, Durian Tunggal dan Cheng.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.