
WRUR: POTENSI BESAR KLEBANG SEBAGAI KATALIS EKONOMI BAHARU MELAKA
KLEBANG 17 Oktober – Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang bakal berkembang menjadi sebuah kawasan katalis ekonomi baharu Negeri Melaka pada masa akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tumpuan itu akan diberikan dalam sektor Ekonomi Biru (Blue Economy), di mana, kawasan tambakan laut di situ bakal dibangunkan dengan pelbagai prasarana baharu.
Jelas beliau, ia termasuklah pelabuhan maritim, kawasan perindustrian, tarikan pelancongan baharu dan taman-taman perumahan.
“Kerajaan Negeri sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kawasan ini akan menjadi pemangkin ekonomi baharu dan ia terletak bersebelahan dengan ibu negeri baharu Melaka pada masa akan datang iaitu DUN Kota Laksamana.
“Jadi, saya melihat potensi Klebang ini sangat besar apabila semua pembangunan-pembangunan yang dirancang berjaya diselesaikan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka Ir. Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, Klebang juga telah menjadi tumpuan dunia, apabila kawasan itu dipilih sebagai antara lokasi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) di Encore Melaka, hujung bulan lalu.
“Program besar bertaraf dunia ini secara tidak langsung meningkatkan lagi potensi besar Klebang pada masa akan datang,” tambahnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.