Sorting by

×

WRUR REMBIA DAPAT SAMBUTAN HEBAT

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

REMBIA 16 Ogos – Penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia mendapat sambutan hebat daripada rakyat setempat apabila kira-kira 9,000 orang terbabit sepanjang berlangsungnya program itu.

Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penglibatan bukan sahaja dalam kalangan agensi terlibat tetapi juga masyarakat sekali gus menunjukkan sokongan padu bagi menjayakan penganjuran WRUR.

Beliau yang juga Pengerusi Penyelaras WRUR berkata, sepanjang 14 berlangsungnya WRUR DUN Rembia lebih 160 program telah disusun atur dan ia dapat dilaksanakan dengan penglibatan masyarakat.

“Setakat semalam jumlah yang direkodkan bersama-sama terbabit menjayakan lebih 160 program sempena WRUR DUN Rembia ini adalah seramai 9,000 orang.

“Ini menunjukkan sokongan yang amat baik daripada penduduk setempat malah kehadiran mereka yang terbabit dan juga pengunjung di Dataran Keris, hari ini juga amat menggalakkan.

“Dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang bersama-sama turun padang menyantuni penduduk juga memeriahkan lagi sambutan,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri menyantuni rakyat bersempena WRUR DUN Rembia, di Dataran Keris, di sini, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, kehadiran barisan Exco dan Timbalan Exco sepanjang dua minggu ke DUN Rembia bukan sahaja dapat menyelesaikan aduan yang dikemukakan tetapi tindakan susulan juga dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

“Sebelum ini aduan yang kita kumpul secara keseluruhan sebanyak 500 namun selepas dibuat semakan dan tapisan jumlah yang tinggal adalah 476 aduan.

“Sepanjang dua minggu ini kehadiran Exco dan Timbalan bersama agensi terlibat ke DUN Rembia untuk cuba selesaikan aduan yang dikemukakan pastinya memberikan perkembangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Fairul Nizam berkata, kesemua 19 kampung tradisional membabitkan lebih 2,000 buah rumah di DUN Rembia selesai ditampal pelekat kampung digital beserta alamat baharu yang dilengkapi kod respons pantas (QR).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post WTD2025: PELUANG PROMOSI PRODUK TEMPATAN KEPADA DUNIA
Next post WRUR SEMAKIN DIRASAI RAKYAT