
WRUR TERBUKTI BERKESAN SELESAIKAN ISU RAKYAT – EXCO
REMBIA 3 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) terbukti berkesan sebagai platform menyelesaikan masalah rakyat secara berfokus dan kini memasuki edisi ketujuh pelaksanaannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, keberkesanan itu dapat dilihat apabila menerusi setiap kali penganjurannya, WRUR berjaya mengumpulkan pelbagai isu untuk diselesaikan dengan segera oleh jabatan dan agensi terlibat.
“Program ini sangat efektif kerana kita dapat turun padang, mendengar terus aduan rakyat dan ambil tindakan segera.
“Dengan penglibatan semua pihak, banyak isu yang mungkin tertangguh dapat diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pembukaan Program WRUR DUN Rembia di Japerun Rembia di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas.
Ujarnya lagi, beliau yakin Program WRUR DUN Rembia mampu menyelesaikan lebih 500 aduan yang diterima sepanjang tempoh dua minggu ini.
“Saya cukup yakin daripada 500 aduan ini, sebenarnya ia tidak melibatkan aduan atau isu yang besar kerana kita tahu DUN Rembia telah melaksanakan tanggungjawab agensi dan jabatan masing-masing.
“Cuma mungkin ada perkara-perkara yang tertinggal ataupun baru dibangkitkan sempena program WRUR DUN Rembia ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.