
WTD 2025: INAP DESA, KAMPUNGSTAY MELAKA TIDAK NAIK HARGA
BANDA HILIR 17 September – Status Melaka sebagai tuan rumah acara pelancongan terbesar dunia iaitu Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 bukan alasan untuk mana-mana pengusaha inap desa (homestay) dan kampungstay di negeri ini menaikkan harga.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz.
Menurut beliau, perkara itu penting dalam menjaga imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan terunggul di mata dunia.
Justeru, beliau berkata, sekiranya didapati ada di antara pengusaha yang cuba menaikkan harga untuk mengambil kesempatan, pihak persatuan boleh mengambil tindakan, termasuk membatalkan lesen mereka yang berdaftar di bawah persatuan.
“Ini merupakan satu peringatan khusus kepada ahli-ahli persatuan agar tidak menaikkan harga apabila tibanya WTD 2025.
“Saya berharap harga yang ditawarkan adalah mengikut kelaziman yang ditetapkan dan bukanlah cuba mengambil kesempatan apabila tibanya acara-acara besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Cuti Sekolah: Saya Anak Malaysia di Muzium Sejarah dan Etnografi, di sini, semalam.
Menurut Akramuddin, kesemua 133 pengusaha inap desa dan kampungstay yang berdaftar di bawah persatuan telah bersedia untuk bersama menyambut tetamu dari seluruh dunia yang akan tiba di Melaka tidak lama lagi.
Malah, beliau juga optimis, WTD 2025 akan memberi limpahan ekonomi kepada seluruh penggiat pelancongan di Melaka, termasuklah pengusaha inap desa dan kampungstay di seluruh negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.