
WTD 2025 PELUANG TARIK PELABURAN BAHARU KE MELAKA
SERI NEGERI 19 September – Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 bukan hanya menjadi platform memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai hab pelaburan dan perindustrian.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, ia memandangkan acara pelancongan dunia pada 27 hingga 29 September itu akan menghimpunkan 159 pemimpin sektor pelancongan dari dalam dan luar negara, sekali gus membuka peluang jaringan kerjasama yang lebih luas.
“WTD 2025 memberi ruang kepada kita untuk memperkenalkan Melaka dari perspektif yang lebih menyeluruh.
“Bukan sekadar mempromosikan pelancongan, tetapi juga memperkenalkan potensi negeri ini dalam sektor pelaburan dan perindustrian yang dapat menjana pembangunan ekonomi yang lebih lestari dan mampan untuk rakyat Melaka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Libat Urus Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Melaka, Sa’ari Basiron dan Pengarah Eksekutif Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.
Tambah Khaidhirah, kehadiran pemain industri dari pelbagai negara juga berpotensi membuka peluang untuk Melaka memperkukuh hubungan sedia ada serta menarik pelaburan baharu yang mungkin sebelum ini belum dapat diakses.
“Kita berharap peluang ini dapat membuka mata pihak luar untuk melihat Melaka sebagai destinasi pelaburan yang strategik selain tarikan pelancongan yang sedia ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.