
WTD2025: PELUANG PROMOSI PRODUK TEMPATAN KEPADA DUNIA
BANDA HILIR 16 Ogos – Bahang Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) pada September depan kian dirasai apabila peniaga di lokasi tumpuan sekitar Banda Hilir kini sudah mula melakukan persediaan awal bagi menyambut acara bertaraf dunia itu.
Bersempena sambutan itu kira-kira 3,000 delegasi antarabangsa termasuk menteri pelancongan dari seluruh dunia dijangka akan berkampung di negeri bersejarah ini.
Bagi pekerja kios menjual cenderamata Norliza Mohamed Yusof, 49, persiapan awal sudah dibuat oleh pemilik premis termasuk dengan menambah produk bertujuan mempelbagaikan lagi pilihan buat pengunjung khusus dari negara luar.
“Cenderamata bakal ditawarkan mencerminkan imej warisan, seni, budaya dan ikon Melaka serta Malaysia. Kami mahu memanfaatkan peluang sepanjang WTD2025 berlangsung untuk mempromosikan dan memperkenalkan identiti Malaysia kepada dunia.
“Selain gantungan kunci (keychain), Â ‘mug’ (kole) dan ‘fridge magnet’ kita turut membawa masuk beg, seluar pelikat dan juga minyak angin yang diusahakan oleh usahawan tempatan. Menerusi pendekatan ini kami mahu orang luar tahu bahawa produk bagi tujuan perubatan tradisional tempatan juga berkualiti dan berkesan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di perkarangan Melaka Taming Sari.
Menurutnya, penganjuran WTD2025 amat dinanti-nantikan kerana dijangka akan berlaku peningkatan pelancong ke Melaka, sekali gus membantu menambah pendapatan pengusaha produk dan perkhidmatan tempatan.
“Apabila ada acara atau sambutan berskala besar jumlah pelancong akan berganda, contoh terbaik adalah menerusi penganjuran Melaka Bila Larut Malam (MBLM).
“Inisiatif itu sedikit sebanyak membantu peniaga untuk menambah pendapatan dengan kedatangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.