Wujud jawatankuasa khas pantau bekalan beras tempatan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

RIM 12 September – Satu jawatankuasa khas mengawal kemasukan dan pengeluaran beras akan diwujudkan bagi memastikan isu kekurangan beras tempatan di Negeri Melaka dapat dibendung.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jawatankuasa itu membabitkan wakil pelbagai agensi dan pengilang beras.

Jelasnya, jawatankuasa itu memainkan peranan untuk menyelaras, menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kemasukan serta pengeluaran beras di negeri ini.

Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi penubuhan jawatankuasa itu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN), Kawalselia Padi dan Beras (KPB) negeri serta pengilang hari ini.

“Hari ini kita akan duduk bersama agensi dan wakil industri untuk menyelaraskan selain memperoleh data sebenar untuk memudahkan jawatankuasa bakal ditubuhkan menjalankan penguatkuasaan.

“Contoh, jika pasar raya A terima 100 kampit beras daripada pengilang pada Isnin, tiba-tiba esok ada aduan rakyat mengeluh beras, tiada jadi KPDN boleh terus ke premis berkenaan untuk buat pemeriksaan dan menyemak data akaun jualan pasar raya tersebut.

“Menerusi langkah ini kita dapat mengenal pasti ketirisan berlaku. Tidak dinafikan masih ada syarikat cuba menyorok beras, namun kita tidak mempunyai bukti kukuh untuk perkara itu. Jadi kita nasihatkan orang ramai mempunyai bukti untuk ambil gambar dan buat aduan kepada KPDN,” katanya.

WhatsApp Image 2023-09-12 at 15.41.50
Stok beras tempatan yang semakin berkurang dikenalpasti di stor simpanan di pasar raya tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan mengejut bekalan beras pada Op Jamin di sebuah pasar raya di Jasin, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, bagi mengatasi kekurangan bekalan pihaknya akan melantik tiga pengilang bagi melaksanakan pembungkusan semula beras tempatan bermula 15 September ini.

“Setakat ini, ramai peniaga mengambil beras secara terus dari luar Melaka, jadi kita akan aturkan semula agar ia dapat diperincikan supaya pengeluaran dan kemasukan beras ke negeri ini dapat dikawal.

“Pengeluaran padi di Melaka hanya mencukupi sebanyak sembilan peratus sahaja dan selebihnya datang daripada luar. Berdasarkan data dimiliki jawatankuasa ini nanti kita boleh tahu ke mana beras ini pergi sampai kepada pengguna atau sebaliknya,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post Saran hantar anak OKU ke PPDK , bela masa depan
Next post KPDN, KPKM pantau kekurangan beras
Ubah saiz-+=