Sorting by

×

KPDN, KPKM pantau kekurangan beras

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

RIM 12 September – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memastikan kestabilan harga dan bekalan beras di pasaran dapat dicapai.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, Op Jamin bermula Julai lalu akan diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rantaian pengedaran beras daripada pemborong sehingga peruncit.

Allex berkata, hasil kerjasama KPDN dan KPKM sebanyak 127 premis perniagaan sekitar Negeri Melaka sudah diperiksa setakat 11 September lalu.

“Operasi dijalankan bertujuan untuk memastikan bekalan dan harga beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) sentiasa mencukupi serta terkawal.

“Penguatkuasaan ini bagi mengelakkan berlakunya ketirisan selain mengesan kesalahan dilakukan oleh mana-mana pihak didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan mengejut bekalan beras pada Op Jamin di sebuah pasar raya di Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurutnya, setakat ini KPDN Melaka hanya menerima satu aduan berhubung permasalahan membabitkan beras dan perkara itu sudah disalurkan kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Melaka bagi siasatan lanjut.

“Aduan berkaitan beras meningkat di seluruh negara terutama berkaitan BPT yang semakin kurang di pasaran. Kita mengingatkan kepada semua peniaga agar patuhi undang-undang dan kekalkan etika yang baik, bersama-sama membantu kerajaan menangani penipuan serta penindasan dalam perniagaan,” katanya.

Bagi sebarang aduan terutama berhubung ketirisan beras orang ramai boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-234 5869 yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Maklumat berhubung aduan juga boeh disalurkan kepada ECC KPDN Putrajaya yang beroperasi setiap masa menerusi talian 03-888 26088.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1039
Kongsi :
Previous post Wujud jawatankuasa khas pantau bekalan beras tempatan
Next post Pembaca berita Nightline Raymond Goh meninggal dunia
Ubah saiz-+=