Zon Bebas Kenderaan kurangkan 12,000 kilogram karbon dioksida setiap kilometer

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Inisiatif Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan Kerajaan Negeri selama 55 jam bermula Jumaat hingga Ahad berjaya mengurangkan 12,000 kilogram karbon dioksida setiap kilometer.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, data itu diperoleh hasil kajian dijalankan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Justeru, ujar beliau, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan itu secara tidak langsung berjaya mengurangkan pelepasan karbon dan memberi pelbagai manfaat kepada Negeri Melaka dan orang ramai.

“Selain meningkatkan kualiti udara, Zon Bebas Kenderaan juga membantu menjaga dan memelihara struktur bangunan lama di zon teras Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Mengikut data, dianggarkan 20,000 kenderaan memasuki kawasan Bangunan Merah setiap minggu yang mana ia boleh menyebabkan gegaran dan keretakan bangunan berusia ratusan tahun dan jika tidak diambil tindakan drastik, ia boleh menjejaskan kota warisan ini.

“Selain itu, menerusi inisiatif ini juga, ia boleh mempromosi kenderaan mobiliti dan meningkatkan keselamatan pejalan kaki, khususnya pelancong yang mahu menikmati keindahan di sekitar Banda Hilir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai tujuan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

270
Kongsi :
Previous post Minggu Warisan Pantun ketengah warisan Melaka
Next post Izinkan saya berkhidmat untuk Melaka dengan jujur, amanah – KM
Ubah saiz-+=