Zon Bebas Kenderaan : MBMB dan peniaga Medan Samudera cari titik persamaan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Pertemuan serampang dua mata antara pihak peniaga Medan Samudera dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah dilakukan baru-baru ini bagi mencapai kata sepakat.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pertemuan itu membabitkan hampir 30 peniaga Medan Samudera.

Katanya, menerusi pertemuan terbabit, MBMB memberi kebenaran untuk peniaga menjalankan perniagaan di luar premis pada hari pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan namun ianya perlu mempunyai konsep perniagaan.

“Tempoh hari, saya telah berjumpa dengan hampir 30 peniaga di Medan Samudera, hasil pertemuan mereka faham tujuan dan objektif pelaksanaan Kerajaan Negeri.

“Mereka dibenarkan meniaga di kawasan sekitar (kawasan Banda Hilir).

“Saya juga sudah meminta untuk mereka (peniaga) berjumpa dengan kami (MBMB) dan ‘propose’ cara perniagaan baharu,  mereka boleh keluar di tepi jalan untuk meniaga namun perlu berkonsep,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara di Dataran Bandaraya MBMB di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Shadan berkata konsep yang dimaksudkan merangkumi aspek kebersihan, keseragaman dan lebih teratur serta pelbagai lagi yang dimaklumkan pihaknya.

Tambahnya, peniaga Medan Samudera juga boleh merasai limpahan ekonomi daripada pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bermula setiap Jumaat,Sabtu dan Ahad.

“Setiap minggu lebih 40,000 kenderaan memasuki Melaka dan mengikut statistik sistem perangkaan yang dipasang, MBMB mengesan lebih 18,000 pengunjung ke Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

“Sebelum ini isu dengan peniaga di Bangunan Merah, dan isu tersebut telah selesai (dan) mereka kini bebas meniaga dan mendapat limpahan ekonomi dari pelaksanaan itu.

“Dan kita harap, peniaga Medan Samudera dapat turut serta untuk mendapat limpahan ekonomi selain dapat menjaga bersama keutuhan struktur bangunan bersejarah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2257
Kongsi :
Previous post Jadi sukarelawan, ‘menyelam sambil minum air’
Next post JKM selamatkan kanak-kanak dipercayai dieksploitasi
Ubah saiz-+=