Projek perintis GTIMP bermula hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDAR HILIR 16 Julai- Projek perintis pengangkutan mesra alam dan pintar dibawah Pelan Induk Pelaksanaan Pengangkutan Hijau (GTIMP) dijalankan selama sebulan, bermula hari ini.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, GTIMP turut meliputi Pelan Pelaksanaan Rangkaian Bas Hijau (GBNIP) dan Pelan Mobiliti Bersepadu Kawasan Warisan Melaka (MHAIMP).

Beliau berkata, pelan induk ini bertujuan membantu Melaka membangunkan pengangkutan yang mampan dan memulihara warisan budaya di negeri ini selain menyediakan inisiatif bagi mengurangkan kesan sekunder yang tidak diingini disebabkan pembandaran yang pesat.

“Sebagai tempoh percubaan satu bulan bermula hari ini sehingga 19 Ogos depan semua warga Melaka boleh mencuba tetapi perlu memuat naik aplikasi ‘Just Naik’ bagi bas manakala ‘Tryke’ untuk e-skuter dan e-basikal.

“Panorama Sdn Bhd menyediakan empat buah bas dan sebuah daripadanya iaitu bas pelancongan boleh dinaiki secara percuma sepanjang tempoh percubaan ini yang akan melalui antaranya laluan dari Melaka Sentral dan kawasan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Hijau Melaka (GTIMP) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Muzium Rakyat, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia TYT Charles Hay MVO dan Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurutnya, melalui aplikasi ‘Just Naik’ penumpang yang menggunakan bas akan dapat mengetahui status lokasi dari masa ke semasa sekali gus dapat merancang perjalanan dengan lebih baik.

“Manakala bagi e-skuter dan e-basikal pula ia ditempat di kawasan letak kenderaan di Menara Taming Sari sepanjang projek perintis ini berjalan.

“Selepas tamat tempoh sebulan dan hasilnya berjaya, insiatif ini akan diteruskan oleh itu kita berharap masyarakat akan memanfaatkan inisiatif ini dengan baik sepanjang fasa percubaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, inisiatif diambil bertetapan pada waktunya memandangkan bilangan kenderaan persendirian semakin meningkat.

Jelasnya GTIMP dijangka akan memberi kesan positif kepada perniagaan, pengayuh beca, sektor pelancongan dan penduduk Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1635
Kongsi :
Previous post Polis tahan rakan wanita yang disyaki terlibat kes bunuh suami
Next post Tingkatkan mutu pendidikan anak B40 – Sulaiman
Ubah saiz-+=