10 bazar Ramadan, 3 bazar Aidilfitri di Hang Tuah Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 31 Mac – Sebanyak 10 bazar Ramadan dan tiga bazar Aidilfitri akan beroperasi sepanjang Ramadan tahun ini di kawasan Hang Tuah Jaya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, bagaimanapun pihaknya belum memutuskan jumlah petak gerai yang akan beroperasi dalam kawasan itu disebabkan menunggu keputusan selanjutnya ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya, setakat ini pihaknya hanya menerima kelulusan jumlah penganjur yang membuat permohonan pengoperasian pasar dan bazar dalam daerah terbabit.

“Mengenai jumlah gerai yang akan beroperasi kita belum menerima apa apa kelulusan dari MKN kerana perlu mematuhi garis panduan agensi itu.

“Sebaik MKN mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) mereka barulah kita akan menentukan berapa jumlah gerai dengan mengikut kesesuaian dari MKN dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Shadan berkata, 10 lokasi bazar Ramadan adalah di tempat letak kenderaan Masjid Al-Alami MITC,  pakir Pangsapuri Ixora Taman Bukit Beruang Utama, Taman Batu Berendam Putra, Taman Merdeka (berhampiran SK Taman Merdeka), tempat letak kereta berhadapan pusat cucian kenderaan Penjara Pra Bebas Dusun Dato Murad, Jalan Merak Mas Bukit Katil, Pekan Durian Tunggal, pakir Taman Enggang Durian Tunggal, Jalan Tun Telani (hadapan Masjid Ar Rahmah Kg Tun Abd Razak Bukit Katil)  dan kawasan UTeM.

“Manakala, bagi bazar Aidilfitri tiga lokasi telah ditentukan iaitu di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka Mall, Ayer Keroh dan KipMall di Bachang.

“Kita juga menetapkan waktu operasi bagi bazar Ramadan dalam kawasan ini sekitar 2 petang hingga 7 malam manakala bagi bazar Aidilfitri dibenarkan bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.

“Segala keputusan ini akan diumumkan kelak dan kita berharap semua peniaga yang terlibat agar mementingkan SOP kerana tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang berdegil.

“Apa yang penting juga adalah isu keselamatan dan kebersihan diutamakan peniaga bagi menjamin makanan dan produk yang dijual berkualiti dan selamat digunakan oleh pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2033
Kongsi :
Previous post Polis buka 12 kertas siasatan VIP didakwa langgar SOP
Next post PKPD Sekolah Henry Gurney dilanjutkan hingga 16 April
Ubah saiz-+=