100 kanak-kanak Taboh Naning ‘masuk jawi’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TABOH NANING 11 Disember – Seramai 100 kanak-kanak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Taboh Naning berjaya dikhatankan dalam program Jom Berkhatan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin berkata, penganjuran julung kali di bawah pentadbirannya itu menerima sambutan sangat menggalakkan daripada masyarakat sekitar.

Menurutnya, walaupun hanya 100 kuota diberikan kali ini, namun pihaknya komited untuk memperluaskan program itu dengan lebih banyak penyertaan dibuka pada edisi akan datang.

“Alhamdulillah kita melihat program ini menerima sambutan positif dalam kalangan penduduk dan impaknya begitu besar buat anak-anak khususnya dalam golongan B40 untuk berkhatan.

“Kita mengambil maklum bahawa kekangan mendapatkan tenaga pegawai perubatan dalam musim cuti sekolah untuk menjalankan proses berkhatan ada sedikit kekangannya sehinggakan kita hanya menerima lima pegawai sahaja untuk menjalankan proses ini sampai ke petang menyebabkan kita terpaksa mengehadkan penyertaan ini.

“Apapun insya-Allah, di atas sokongan dan dorongan pelbagai pihak dan Kerajaan Negeri kita akan cuba perluaskan program yang menjadi acara tahunan ini agar ia terus berlangsung setiap tahun dan diraikan dengan lebih meriah pada tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Berkhatan Peringkat Dun Taboh Naning, diadakan di Kompleks Japerun Taboh Naning, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata program bermula pada jam 8 pagi itu dijadualkan akan berakhir petang mengikut peringkat pecahan kumpulan membabitkan peserta terlibat.

“Kita pecahkan kepada beberapa kumpulan untuk mengikut dalam pecahan sesi dijalankan ini bagi mengelakkan susunan nama yang terlibat dari menunggu terlalu lama di kawasan ini.

“Ada kumpulan akan menjalani proses ini di sebelah pagi dan ada juga pada tengah hari dan petang,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan upacara simbolik perasmian dengan memandikan peserta menggunakan bantuan khidmat jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka di pekarangan Japerun itu.

Tinjauan mendapati rata-rata kanak-kanak kelihatan riang dan teruja apabila diberikan peluang bermandi manda di taman tema mini yang dilengkapi dengan gelongsor air serta disajikan dengan aiskrim dan makanan buat keluarga yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1798
Kongsi :
Previous post Paras air melebihi tahap bahaya di tiga negeri – JPS
Next post Pak Ngah kongsi rezeki khatankan anak asnaf, B40 secara percuma
Ubah saiz-+=