100 pelajar sekolah dapat gunting rambut percuma

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERKAM 30 Okt – Memahami kesusahan pelajar sekolah kurang berkemampuan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 untuk memulakan persekolahan, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpanggil untuk membantu mereka dengan menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma.

Program anjuran Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Serkam itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dan esok dengan hasil kerjasama Gerakan 4B Malaysia Serkam.

Penyelaras MAYC Serkam, Mohd Shahrizan Mohd Saat berkata, memandangkan negeri ini sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), jadi sesi persekolahan juga bakal bermula pada November ini.

Justeru katanya, pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu pelajar sekolah yang keluarganya daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk memberikan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

“Program gunting rambut secara percuma ini turut mendapat bantuan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan dan diadakan selama dua hari iaitu bermula hari ini di pejabat UMNO cawangan Serkam manakala esok diadakan di Kampung Berangan Enam, Umbai.

“Kita sasarkan kira-kira 100 orang sehari dan Alhamdulillah program hari ini mendapat sambutan daripada pelajar di kawasan setempat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mohd Shahrizan

Sementara itu, pengusaha kedai gunting rambut, Lutfy Ahmad, berkata dia sering mengadakan program kebajikan seumpama itu bersama beberapa gabungan NGO lain untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah.

“Bagi program itu, seramai tiga orang tukang gunting rambut memberikan perkhidmatan itu bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya.

tamat

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1509
Kongsi :
Previous post Undi18 dilaksana mulai Jan 2022 – PM Ismail Sabri
Next post Bajet 2022 tidak pinggirkan belia
Ubah saiz-+=