1,000 peserta dijangka sertai Taming Sari Fun Ride 3.0

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Penganjuran Menara Taming Sari Fun Ride 3.0 dijadualkan 14 September depan dijangka akan disertai kira-kira 1,000 peserta termasuk dari luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Nasrul Ahmad berkata, sasaran itu adalah berdasarkan kepada jumlah penyertaan bagi penganjuran sebelum ini yang mencapai 800 orang.

“Bagi peserta luar negara kami sasarkan dari Indonesia, meskipun hebahan dan promosi baru sahaja dilaksanakan kami sudah mula menerima penyertaan daripada kumpulan peminat basikal yang ingin sama-sama memeriahkan acara kayuhan itu nanti.

“Diharap akan lebih ramai yang akan menyertai Menara Taming Sari Fun Ride 3.0 edisi kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, beberapa laluan sudah dikenal pasti pihaknya sebagai laluan kayuhan sejauh 50 kilometer (km), namun ianya akan diputuskan selepas mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Antara laluan dikenal pasti adalah dari Kandang menuju ke Ayer Molek sebelum keluar ke Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) untuk kembali ke Menara Taming Sari, selain kita turut cadangkan laluan sepanjang pantai iaitu ke Klebang.

“Namun begitu ianya bergantung kepada kelulusan daripada PDRM dan kita akan bentangkan laluan ini dalam mesyuarat penyelarasan yang dijangka berlangsung pada Rabu depan,” katanya.

Jelasnya, pada program itu nanti pelbagai hadiah menarik disediakan untuk cabutan bertuah kepada peserta selain promosi ‘Early Bird’ kini turut berlangsung sehingga 16 Julai depan buat mereka yang membuat penyertaan awal kerana hanya perlu membayar caj penyertaan RM50 berbanding RM55.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post MPJ tangkap tujuh lembu terbiar
Next post Kembara 679 kilometer promosi TMM2024
Ubah saiz-+=