
1,000 TAMAN REKREASI MADANI DIBINA MENJELANG 2035
PAYA RUMPUT 11 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 Taman Rekreasi MADANI dibina di seluruh negara menjelang 2035 bagi menyediakan lebih banyak ruang rekreasi berkualiti untuk masyarakat setempat.
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad berkata, sebanyak 216 Taman Rekreasi MADANI telah dibina sepanjang 2024 hingga 2025, manakala 100 lagi sedang dalam proses pembinaan tahun ini.
“Pada tahun ini sebanyak 100 lagi taman dalam proses pembinaan. Jadi sasaran kita, menjelang tahun 2035 kita nak membina 1,000 Taman Rekreasi MADANI untuk kemudahan rekreasi masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah dan Anugerah Sambutan Hari Landskap Negara Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu di Stadium Hang Jebat, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Mansor berkata, pembangunan Taman Rekreasi MADANI mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Menurutnya, konsep ‘accessibility’ atau kebolehcapaian diterapkan melalui reka bentuk sejagat (universal design) bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat digunakan semua golongan untuk tujuan rekreasi dan terapi.
“Kita menerapkan universal design supaya semua golongan masyarakat boleh menggunakan taman untuk tujuan rekreasi dan terapi.
“Secara purata, sebuah Taman Rekreasi MADANI memerlukan peruntukan antara RM400,000 hingga RM500,000 bergantung kepada saiz tapak dan reka bentuk yang dibangunkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

