POPULARITI MELONJAK, MENARA TAMING SARI DIIKTIRAF TERBAIK DALAM MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Populariti Menara Taming Sari terus mendapat pengiktirafan apabila mercu tanda ikonik pelancongan Melaka itu dinobatkan sebagai ‘Best Observation Tower Attraction’ pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2026, Sabtu lalu.

Pengiktirafan berkenaan turut mengukuhkan reputasi Menara Taming Sari sebagai antara produk pelancongan pilihan pelancong selepas merekodkan lebih 500,000 pengunjung sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan berkata, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan kali kedua diterima pihaknya selepas turut memenangi kategori ‘Best Iconic Tourist Attraction’ pada tahun lalu.

Menurutnya, pengiktirafan pada majlis anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) membuktikan Menara Taming Sari terus menjadi antara destinasi pilihan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Anugerah ini diterima berdasarkan pengiktirafan terhadap jumlah pengunjung ke Menara Taming Sari. Tahun lalu, kita merekodkan lebih 500,000 pengunjung yang menaiki menara ini dan jumlah tersebut mungkin menjadi antara kriteria bagi pengiktirafan yang diterima.

“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna kepada seluruh warga Menara Taming Sari selain membuktikan usaha kami dalam menarik lebih ramai pengunjung turut mendapat pengiktirafan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nur Azan berkata, pencapaian itu diharap menjadi pemangkin kepada pihaknya untuk terus memperkukuh kedudukan Menara Taming Sari sebagai antara produk pelancongan utama bukan sahaja di Melaka, malah di peringkat nasional.

“Kami warga Menara Taming Sari berharap dapat terus melangkah lebih jauh untuk menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus menjadikan Menara Taming Sari sebagai pusat pelancongan ikonik bukan sahaja di Melaka tetapi dalam negara.

“Kami juga akan terus memperkasakan aspek perkhidmatan dan pengalaman pengunjung bagi memastikan Menara Taming Sari kekal menjadi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post ‘MAK CIK TAKKAN LUPA BUDI TOK RAUF, YB ALONG’