10,000 saksikan Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Bandaraya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, bagi menyaksikan Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara, malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata acara antarabangsa itu membuka tirai Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, persembahan perdana itu dijayakan kumpulan-kumpulan pergendangan Nusantara seperti Padang Panjang, Sumatera Barat; Kota Lhokseumawe, Buleleng, Bali, Indonesia selain wakil dari Poland, Kazakhstan, Thailand, Korea dan Sri Lanka.

“Penganjuran Pesta Gendang Nusantara kali ini mampu membantu memperkasa semula nilai-nilai estetika seni warisan tradisional Melayu terutama kepada generasi muda menerusi proses asimilasi daripada persembahan pelbagai rentak dan jenis muzik tradisional di alam Melayu

“Pesta Gendang Nusantara ini juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi Melaka di mata dunia sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai khazanah warisan dan budaya, sama ada yang ketara mahupun tidak ketara sehingga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara di Dataran MBMB.

Majlis Perasmian Pesta Gendang Nusantara itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman; Speaker Dewan Undang Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3731
Kongsi :
Previous post Jambu batu lohan ikon buah Melaka
Next post MBMB terima dua anugerah MBOR pada Pesta Gendang Nusantara
Ubah saiz-+=