100,000 berkampung di Melaka selama tiga hari

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Seramai 100,000 pelancong dan pengunjung disasar akan berkampung di Melaka selama tiga hari berikutan pelbagai acara menarik yang disediakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara tiga acara yang menjadi tumpuan sejak Jumaat hingga Ahad adalah Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Menurut Ab Rauf, pameran khas kenderaan klasik milik keluarga Diraja Johor, misalnya, ia membuka peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat pelbagai jenis kenderaan klasik yang mempunyai nilai dan makna sejarah cukup tinggi.

“Selain itu, pengunjung dan pelancong juga dapat datang dan melihat sendiri Pameran Hang Tuah yang menonjolkan penemuan-penemuan baharu tentang kehebatan dan kebijaksanaan pahlawan Melayu Melaka.

“Pelbagai bahan dalam bentuk ilmiah dan akademik dipamerkan pada pameran ini supaya rakyat dapat melihat bahawa Hang Tuah ini merupakan seorang legenda yang perlu diteroka keperibadian dan kemampuannya bukan sahaja sebagai pahlawan, bahkan ahli diplomat yang cukup hebat pada kurun ke-15,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024, di MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Selain itu, Ab Rauf berkata, acara di MITC turut diselitkan dengan penganjuran Malaysia Bike Week Melaka 2024 yang menghimpunkan ribuan peminat motosikal dalam dan luar negara.

“Program ini juga mendapat sambutan luar biasa yang mana kita turut menyediakan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Proton X50 kepada pengunjung-pengunjung yang datang ke karnival ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post 37 koleksi kenderaan klasik Diraja Johor jadi tarikan di MITC
Next post Melaka capai sasaran 5.7 juta pelancong separuh pertama 2024
Ubah saiz-+=