dadah

11 individu ditahan, 141.4 kg dadah bernilai RM8.07 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah tumpas apabila polis menahan 11 individu dan merampas 141.4 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM8.07 juta di sekitar Lembah Klang, pada Jumaat lepas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua mereka berusia 22 hingga 38 tahun yang ditahan dalam lima serbuan itu terdiri daripada sembilan lelaki tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga asing.

Beliau berkata dadah yang dirampas melibatkan 106.3kg ketamin, 18.6kg pil eramin 5 dan 16.5kg pil ekstasi dan dipercayai boleh digunakan oleh seramai 502,257 penagih dadah.

“Sindiket ini mula aktif sejak Februari lepas. Modus operandi mereka adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor simpanan dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman tujuh hari bermula 9 Julai. Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan juga diambil di bawah ADB (pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM582,331 yang terdiri daripada lapan kenderaan bernilai RM522,800, wang tunai berjumlah RM20,330 dan barang kemas bernilai RM39,201.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM8.65 juta. Dengan operasi ini, PDRM telah menumpaskan satu sindiket memproses serta mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket,” katanya.

Beliau berkata PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dan berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah yang berlaku melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

87
WhatsApp Image 2022-07-14 at 6.38.53 PM Previous post MBMB cemerlang bolot empat anugerah inovasi
WhatsApp Image 2022-07-14 at 6.37.02 PM Next post MPJ ‘beli’ tikus RM3 seekor