11 kilang dikompaun RM10,000

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BATU BERENDAM 2 Jul – Sebanyak 11 kilang di daerah Melaka Tengah dikenakan kompaun masing-masing RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Semua kilang berkenaan dikenakan tindakan dalam operasi pematuhan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sejak 1 Jun lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, semua kilang berkenaan didapati melakukan kesalahan kerana membenarkan kehadiran pekerja di premis melebihi 60 peratus sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun katanya, dalam Operasi Patuh (Op Patuh) yang dilancarkan secara besar-besaran bermula hari ini, sebanyak 70 daripada 150 kilang di Melaka Tengah diperiksa dalam operasi bermula pagi tadi sehingga jam 3 petang.

AFZANIZAR…11 kilang di Melaka Tengah dikompaun masing-masing RM10,000 kerana ingkar SOP PKP.

“Daripada jumlah itu, kita dapati sebuah kilang elektronik membenarkan kehadiran pekerja lebih daripada 60 peratus sebagaimana ditetapkan dan premis berkenaan dikenakan kompaun RM10,000,” katanya selepas membuat pemeriksaan dalam operasi itu di sebuah kilang di Batu Berendam di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya menggerakkan 73 pegawai dan anggota polis membabitkan 16 pasukan khas bagi memantau operasi kilang dari semasa ke semasa.

Jelasnya, polis turut dibantu beberapa agensi penguatkuasa termasuk Invest Melaka dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membabitkan 35 orang.

“Kita juga ambil peluang untuk menasihatkan majikan supaya memastikan operasi kilang mahupun industri mematuhi SOP ditetapkan serta melaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya terdapat pekerja atau kakitangan mereka dikesan positif COVID-19 supaya menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Nor Zamani wanita ketiga dilantik Ketua Pengarah Pendidikan
Next post ‘Tak sengaja’ langgar SOP, kilang memproses ayam dikompaun RM10,000
Ubah saiz-+=