‘Tak sengaja’ langgar SOP, kilang memproses ayam dikompaun RM10,000

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERKAM 2 Jul – Tindakan sebuah kilang pemprosesan ayam yang memberikan alasan ‘tidak sengaja’ gagal mengamalkan penjarakan fizikal di tempat kerja menerima padah apabila dikompaun RM10,000.

Kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) itu dikesan dalam Operasi Patuh (Op Patuh) oleh pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bermula pagi hingga 6 petang tadi.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati pekerja kilang terbabit melakukan kerja masing-masing di meja yang tidak ada ruang penjarakan sekali gus tidak mengamalkan SOP ditetapkan.

ABDUL Majid bersama Mispani (kanan) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam di sini, hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 218 kilang diperiksa di seluruh negeri membabitkan daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Katanya, hasil pemeriksaan itu polis mengeluarkan lima kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 terhadap kilang yang gagal mematuhi SOP, keseluruhannya berjumlah RM50,000.

“Daripada jumlah itu tiga premis di daerah Jasin dikenakan kompaun kerana membenarkan pekerja melebihi 60 peratus di tempat kerja manakala satu lagi di daerah Melaka Tengah.

“Satu sahaja kilang yang kita keluarkan kompaun di Serkam disebabkan tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa berada di pejabat dan beberapa ketidakpatuhan di tempat kerja,” katanya sambil menambah OP Patuh dijalankan serentak hari ini di seluruh negara.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan di kilang berkenaan bersama Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata dalam operasi yang bermula hari ini, seramai 262 pegawai dan anggota membabitkan ketiga-tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) digerakkan dalam Op Patuh.

Katanya operasi bersepadu itu turut dibantu oleh 11 agensi penguatkuasa lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seramai 106 keanggotaan.

“Sebanyak 11 pasukan masing-masing digerakkan di daerah Melaka Tengah dan Jasin manakala sembilan lagi pasukan memantau di Alor Gajah dan hasil operasi hari ini, 80 peratus daripada kilang diperiksa mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1192
Kongsi :
Previous post 11 kilang dikompaun RM10,000
Next post Masalah capaian internet lemah, jejas PdPR bakal diatasi
Ubah saiz-+=