Masalah capaian internet lemah, jejas PdPR bakal diatasi

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER LIMAU 3 Julai – Masalah capaian internet lemah yang menjejaskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Kampung Ramuan Cina Besar dan Kampung Paya Lebar, di sini bakal diatasi melalui bantuan penyedia perkhidmatan liputan internet, Kumpulan Serba Dinamik Berhad.

Syarikat yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor itu bermurah hati menyediakan perkhidmatan WiFi secara percuma selama enam bulan untuk anggota komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya.

Pengurus Besar Telekomunikasi (Infrastruktur) syarikat itu, Mohd Efandi Ramli berkata, pihaknya akan menyediakan kemudahan berkenaan melalui pemasangan penerima isyarat satelit berhampiran Sekolah Kebangsaan Ramuan Cina Besar, di sini.

MAS Ermieyati (dari kiri) berbincang dengan Zulfakar, Talib, wakil Serba Dinamik dan Mohd Efandi mengenai pemasangan alat penerima isyarat satelit di SKRCB, Masjid Tanah.

 

“Kami menyediakan kemudahan itu secara percuma selama enam bulan lagi memudahkan murid mengikuti PdPR kerana berdasarkan aduan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, murid sukar berbuat demikian akibat capaian internet yang sangat lemah di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak sesuai untuk pemasangan alat penerima isyarat satelit berkenaan bersama-sama Mas Ermieyati dan Guru Besar SKRCB, Talib Ludin serta Penolong Kanan, Zulfakar Talip di sekolah itu semalam.

Pengurus Besar Telekomunikasi (Perkhidmatan) syarikat itu, Azman Salim berkata, projek berkenaan adalah CSR pertama syarikat itu
bagi memastikan murid luar bandar menikmati capaian internet yang baik bagi meneruskan PdPR.

“Kumpulan Serba Dinamik terbabit dalam perniagaan minyak dan gas di dalam dan luar negara dan sekarang kami mengembangkan sayap dalam bidang teknologi angkasa bagi meningkatkan kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerja pemasangan alat penerima isyarat salelit itu dijangka disiapkan dalam tempoh kurang 10 hari.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, beliau membawa masalah liputan internet yang amat lemah kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tahun lalu.

“Usaha sudah dilakukan KKMM bagi menaikkan rangkaian 3G kepada 4G tetapi masih ada sebahagian besar kawasan, terutama di Kampung Ramuan Cina Besar dan Paya Lebar yang mengalami masalah capaian internet sangat lemah,” katanya.

Zulfakar berkata, kajian dilakukan beliau dan guru lain mendapati majoriti murid sekolah itu menghadapi masalah untuk mengikuti PdPR dengan baik akibat masalah capaian internet sangat lemah.

“Kami menghantar pautan tetapi murid tidak dapat mengaksesnya kerana capaian internet bukan setakat lemah, malah tidak ada
langsung di sesetengah kawasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post ‘Tak sengaja’ langgar SOP, kilang memproses ayam dikompaun RM10,000
Next post YADIM bantu haiwan terkesan PKP
Ubah saiz-+=