11 PATI dicekup di Kuala Sungai Baru

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

REMBIA 11 Feb. – Sebelas pendatang tanpa izin (PATI), termasuk dua tekong laut yang baru tiba di perairan pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini, ditahan awal pagi kelmarin.

Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dalam operasi jam 2 pagi.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, bertindak atas maklumat dan risikan selama beberapa hari, pihaknya memintas sebuah bot ketika ia menghampiri pantai Kuala Sungai Baru.

“Pemeriksaan mendapati ada dua lelaki dipercayai tekong warga Indonesia dan lima lelaki serta dua perempuan yang dipercayai baru tiba di pantai itu sebelum mencuba menyusup masuk ke negeri ini.

Arshad menunjukkan gambar bot PATI yang dipintas di perairan berhampiran pantai Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

“Mereka menaiki bot yang menggunakan enjin berkuasa kuda tinggi untuk mencuba meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

“Namun polis tidak menjumpai sebarang objek yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negeri ini,” katanya pada sidang media di IPD Alor Gajah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Hasil daripada tangkapan itu, polis melakukan serbuan di satu ladang kelapa sawit juga di Kuala Sungai Baru dan menahan dua lagi lelaki yang dipercayai mencuba untuk datang ke pantai berkenaan sebelum menaiki bot yang sama pulang ke Indonesia.

Sharul Lalli berkata, semua tahanan berusia antara 21 hingga 37 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu adalah sebahagian daripada Op Benteng di Sektor Enam perairan antara Kuala Sepang di Sempadan Negeri Sembilan/Selangor hingga Kuala Kesang di sempadan Melaka/Johor bagi memastikan tiada PATI lolos ke negara ini.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Op Benteng turut dijayakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Views:

601
Kongsi :
Previous post TNB rugi RM648,000, premis curi elektrik untuk melombong bitcon
Next post Muhyiddin harap ‘Year of the Ox’ beri kekuatan baharu kepada rakyat
Ubah saiz-+=