11 usahawan ceria terima peralatan perniagaan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

LENDU 28 Sept – Seramai 11 usahawan dalam Parlimen Masjid Tanah ceria dan bersyukur menerima bantuan peralatan perniagaan.

Sumbangan gerai roti canai, dapur dua tungku, set meja makan dan kerusi, peti ais bersaiz kecil dan besar, kuali besar dan ketuhar itu disalurkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mohd Rashidi Ablah, 35, yang berniaga ayam goreng berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberikan peti ais bersaiz sederhana 200L bagi menyimpan ayam proses dan bahan masakan lain.

MOHD Rashidi meneliti peti ais yang diterimanya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah.

“Alhamdulillah, sebelum ini saya terpaksa menggunakan peti ais bersaiz kecil untuk menyimpan ayam tetapi sekarang ia sudah tidak mampu menampung pertambahan kuantiti ayam, sejajar dengan peningkatan permintaan ayam goreng.

“Insya-Allah saya akan terus memajukan perniagaan di tapak perniagaan sedia ada di tepi Jalan Pengkalan Balak-Masjid Tanah di Kampung Londang,” katanya ditemui selepas menerima peralatan itu daripada Mas Ermieyati di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di sini, semalam.

Arsehar Abu Bakar, 53, berkata dia akan memanfaatkan dapur dua tungku dan set meja makan serta kerusi bagi memastikan perniagaan makanan dan minumannya di pekan Kuala Sungai Baru bertambah maju.

“Saya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peralatan itu kira-kira dua bulan lalu dan alhamdulillah, hari ini saya dipanggil untuk menerimanya,” katanya.

MAS Ermieyati (kanan) bertanya sesuatu kepada Latifah yang menerima kuali besar.

Isnin Rasap, 68, berkata dapur dua tungku yang diterimanya bakal menggantikan dapur sedia ada yang sudah uzur dan berbahaya di gerai menjual pisang gorengnya di Jalan Pengkalan Balak.

“Dapur itu sudah bocor yang menyebabkan apinya tidak sekata dan kadang kala menjadi terlalu besar serta hampir menyambar isteri ketika menggoreng pisang,” katanya.

Latifah Hussin, 34, yang menerima kuali besar berkata, alat berkenaan penting untuk membolehkannya menggoreng kerepek ubi dan pisang dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1327
Kongsi :
Previous post Piala Malaysia: MUFC tundukkan juara Liga Premier
Next post Jual minyak masak terpakai untuk tambah pendapatan
Ubah saiz-+=