Piala Malaysia: MUFC tundukkan juara Liga Premier

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi pertama kumpulan C, malam tadi.

Aksi di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan misi utama memburu tiga mata penting bagi menyuntik moral  untuk melangkah jauh dalam saingan kali ini.

Perlawanan bagaimanapun tergendala pada minit ke-10 berikutan hujan lebat disusuli petir yang memaksa pengadil menghentikan perlawanan.

Selepas hujan sedikit reda, perlawanan bersambung dan Melaka United tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Adriano Narcizo pada minit ke-28.

Gol itu terhasil selepas pemain import Brazil itu melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Damien Lim.

Aksi babak pertama berakhir dengan kelebihan satu gol memihak tuan rumah.

Bersambung di babak kedua, kedua-dua pasukan saling melakukan asakan bagi mencari gol.

Tuah bagaimanapun memihak Melaka United apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-65.

Gol itu dijaringkan S Kumaahran yang menerima hantaran cantik Manuel Ott sebelum melakukan lambungan dari kiri pintu gol yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat.

Ketinggalan dua gol, Negeri Sembilan yang juga juara Liga Premier 2021 cuba memperkemaskan permainan dan melakukan asakan bagi mencari gol pertama.

Bagaimanapun, kekentalan pertahanan anak buah Zainal Abidin Hassan menggagalkan misi itu dan keputusan 2-0 kekal sehingga pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan meniupkan wisel penamat.

Kemenangan berharga itu kini meletakkan skuad Hang Tuah di tangga kedua kumpulan C, hanya dibezakan satu gol dengan pendahulu kumpulan Kedah Darul Aman FC yang berjaya menewaskan Kelantan United FC 3-0.

Selepas ini, Melaka United dijual bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 30 September (Khamis) ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post Lelaki OKU ditahan cuba pecah mesin ATM
Next post 11 usahawan ceria terima peralatan perniagaan
Ubah saiz-+=