Lelaki OKU ditahan cuba pecah mesin ATM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 27 Sept. – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental gagal dalam cubaannya untuk memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Munshi, dekat sini, pada 24 September lalu.

Tindakan suspek berusia 43 tahun itu sia-sia, apabila dia diberkas polis kira-kira jam 12 tengah hari di hadapan rumahnya di Kampung Morten berikutan perbuatan itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bank terbabit.

ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai keselamatan kira-kira jam 8.50 pagi hari kejadian selepas mendapati terdapat kesan pecah dan rosak pada mesin ATM itu.

“Hasil semakan CCTV mendapati seorang lelaki melakukan khianat dengan memecahkan mesin ATM menggunakan tukul besi kira-kira jam 4 hingga 5 pagi, hari sama dipercayai bagi mendapatkan wang.

“Tapi daripada kejadian ini, tak ada wang tunai berjaya dicuri. Hanya berlaku kerosakan pada bahagian pengeluaran wang mesin ATM itu dan juga kamera CCTV yang berada di mesin ATM berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Menurut Afzanizar hasil siasatan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta memegang kad OKU kerana masalah psikiatri.

Suspek berjalan kaki dari rumahnya ke bank terbabit.

“Suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah dadah, hasil saringan urin dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Daripada tangkapan di rumahnya, kita jumpa semula tukul yang dipercayai digunakannya ketika melakukan jenayah berkenaan dan kita dapati hanya berseorangan,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihak bank mengalami kerugian dianggarkan RM5,000 akibat kerosakan mesin ATM itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula 25 September  hingga esok bagi membantu sisatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1668
Kongsi :
Previous post Samun demi dadah, ‘Geng Jeya’ tumpas
Next post Piala Malaysia: MUFC tundukkan juara Liga Premier
Ubah saiz-+=