
PRISMANITA BELA WANITA DALAM ISU KEGANASAN, JENAYAH SEKSUAL
KOTA LAKSAMANA 21 Februari – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat program kepada golongan wanita terutama melibatkan isu keganasan rumah tangga dan jenayah seksual.
Antara program yang diperkenalkan adalah Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) yang telah dilancarkan beberapa bulan lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Lim Hui Ying berkata, pendekatan pencegahan terus diperkasakan selain memastikan bantuan dan sokongan disediakan kepada mangsa.
“Kes keganasan rumah tangga dan jenayah seksual memang berlaku, sebab itu pencegahan menjadi fokus utama di peringkat KPWKM.
“Dalam masa sama kita juga menyediakan bantuan sokongan termasuk kaunseling dan panduan kepada mangsa mengenai tindakan yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Cakna Kebajikan: Ziarah Kasih WRUR DUN Kota Laksamana di Tengkera, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh
yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin bersama Timbalannya Leng Chau Yen.
Turut hadir, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Halyjah Muhamad serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, PRISMAnita turut memberi fokus kepada ibu tunggal terutama mereka yang berdepan perceraian dan tekanan hidup sekali gus menjadi pusat sehenti dan saluran pembelaan tepat untuk wanita.
Katanya, program itu membantu wanita memahami hak mereka selain memberi bimbingan berkaitan pengurusan kewangan dan usaha untuk bangkit semula.
“Kita akan teruskan program advokasi seperti ini dan berharap lebih ramai wanita dapat terlibat. Selain itu, kita juga menyeru mana-mana NGO dan syarikat swasta untuk tampil membantu Kerajaan dalam menangani isu sosial dan kebajikan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

