Sorting by

×

AGENDA PENDIDIKAN ANAK-ANAK MACHAP JAYA KEUTAMAAN ‘AH SEM’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MACHAP JAYA 21 Mei – Agenda pendidikan terus menjadi agenda utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar selain meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak.

“Antara inisiatif yang dilakukan di peringkat DUN dalam memastikan pembangunan akademik adalah terlibat aktif dan memberi sokongan penuh dalam program yang dianjurkan pihak sekolah termasuk memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang.

“Selain itu kami di peringkat DUN juga kini dalam usaha untuk meneruskan kembali program tuisyen percuma seperti yang diadakan sebelum ini kerana ia memberi manfaat besar kepada anak-anak.

“Pendidikan merupakan antara fokus utama di DUN Machap Jaya kerana kita mahu memastikan anak-anak di kawasan ini mendapat peluang pembelajaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Japerun Machap Jaya, di sini, pada Rabu.

Pada majlis itu, Hee Sem menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Nur Ameera Aqielah Mohd Riduan, 18, yang meraih keputusan 9A+ pada SPM 2025, selain akan turut menyumbangkan komputer riba kepada pelajar berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan pelajar atau ibu bapa di DUN Machap Jaya yang berdepan kesulitan dalam sudut kewangan untuk tampil mendapatkan bantuan dan sokongan yang diperlukan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.

“Sekiranya ada sebarang pemasalahan mereka boleh datang terus untuk berjumpa kerana kami sedia membantu supaya anak-anak dapat belajar dalam keadaan yang selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

73
Kongsi :
Previous post USAHAWAN MELAKA PERLU BERANI BERUBAH, MANFAAT TEKNOLOGI DIGITAL