
USAHAWAN MELAKA PERLU BERANI BERUBAH, MANFAAT TEKNOLOGI DIGITAL
BANDA HILIR 20 Mei – Usahawan di negeri ini diseru untuk berani melangkah ke hadapan dan merebut peluang yang disediakan, selain bersedia melakukan perubahan dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, seiring dengan arus kemodenan masa kini, pemasaran yang dilakukan juga perlu mengikut trend samasa yang bergerak amat pantas.
Jelas beliau, aspek penjenamaan, inovasi dan teknologi digital dalam memasarkan produk menjadi antara perkara yang perlu diberi penekanan bagi membantu terus berkembang.
“Usahawan bumiputera perlu mengubah minda daripada berniaga untuk kelangsungan hidup kepada membina perniagaan yang mampu berkembang, mencipta pekerjaan dan memberi impak kepada masayarakat.
“Dalam era hari ini, usahawan perlu pantas menyesuaikan diri, kreatif dan berani mengambil peluang terhadap situasi dan keperluan semasa di samping peka terhadap penjenamaan, inovasi dan teknologi digital dalam memasarkan produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) 2026 Peringkat Negeri Melaka anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MARA Zahari Aziz; Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Amirhamzah Karim; Pengarah MARA Negeri Melaka Shah Zulmizan Safar serta Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka Farosham Naizamohideen.
Fairul Nizam berkata, program yang mengumpulkan barisan kempimpinan MARA, tokoh perniagaan, usahawan serta komuniti setempat melalui pelbagai sesi perkongsian amat bertepatan dalam memperkukuh agenda ekonomi dan keusahawanan bumiputera.
“Program ini juga menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan kerjasama, perkongsian ilmu melalui sesi forum dalam memperkasa serta memotivasikan usahawan yang hadir untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

