
LITTLE CALIPHS FOKUS 3M, PERSIAP MURID SEBELUM MASUK DARJAH SATU
DURIAN TUNGGAL 21 Mei – Bagi menghadapi suasana pendidikan awal kanak-kanak semakin mencabar, Little Caliphs International Sdn Bhd (Little Caliphs) tampil memperkenalkan Program 3M membaca, menulis dan mengira) bagi mempersiapkan murid sebelum melangkah ke alam persekolahan.
Program memberikan fokus kepada usaha memperkasakan kemahiran kemahiran membaca, menulis dan mengira itu juga amat perlu susulan perubahan kemasukan murid enam tahun ke tahun satu seperti diumumkan kerajaan.
Pengarah Little Hajj 2026 Melaka dan Johor Utara Siti Affiza Mohammad berkata, pihaknya melihat murid berusia lima tahun memerlukan persediaan lebih awal sebelum memasuki sekolah rendah.
“Kanak-kanak pada usia ini masih berada dalam fasa perkembangan awal dan lebih cenderung kepada aktiviti bermain, namun pada masa sama perlu dipersiapkan dengan kemahiran asas pembelajaran. Bila umur enam tahun terus masuk darjah satu, mereka kena bersedia dalam banyak perkara, tetapi mereka masih kecil lagi.
“Jadi di Little Caliphs, kita cuba seimbangkan perkembangan mereka dengan keperluan akademik melalui ini supaya mereka boleh membaca, mengira dan menulis sebelum masuk sekolah rendah,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Little Hajj 2026 Melaka dan Johor Utara di Masjid Sayyidina Abu Bakar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Menurutnya, program itu baru diperkenalkan tahun ini dan latihan turut sedang diberikan kepada tenaga pengajar bagi memastikan pendekatan pembelajaran sesuai dengan perkembangan kanak-kanak.
“Cabaran utama bukan datang daripada murid, sebaliknya ekspektasi ibu bapa yang mahu anak-anak menguasai pelbagai kemahiran pada usia muda.
“Kadang-kadang ibu bapa mengharapkan anak lima atau enam tahun boleh buat semua benda tetapi kita kena faham perkembangan anak-anak. Kita tidak boleh paksa anak umur lima tahun jadi seperti umur enam tahun,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan murid enam tahun di Little Caliphs dilihat sudah bersedia memasuki darjah satu, terutama dari aspek membaca dan pembentukan karakter diri.
“Yang paling penting sebenarnya karakter seperti boleh kawal diri, ikut arahan cikgu, bergaul dengan kawan dan tahu bagaimana mengurus emosi dalam situasi tertentu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

