
PERNAH HIDUP SUSAH, PELAJAR CEMERLANG SPM MAHU UBAH NASIB KELUARGA
MACHAP JAYA 20 Mei – Kejayaan meraih keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menjadi hadiah paling bermakna buat seorang pelajar yang nekad mengubah nasib keluarga selepas melihat pengorbanan ibu dan bapa tirinya bekerja keras demi memastikan dia mendapat pendidikan terbaik.
Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Nur Ameera Aqielah Mohd Riduan, 18, berkata, kejayaan yang diraih bukan datang dengan mudah memandangkan keluarganya pernah berdepan kekangan kewangan ketika dia masih di bangku sekolah.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, ibunya sanggup melakukan beberapa pekerjaan demi menambah pendapatan keluarga selain sering berjaga malam untuk mengajarnya.
“Sejak kecil saya tengok emak dan ayah bekerja keras untuk pastikan saya serta kakak mendapat pendidikan terbaik serta akses pembelajaran yang baik.
“Emak pernah buat beberapa kerja demi cari pendapatan tambahan dan dia juga selalu berjaga malam untuk mengajar saya bahasa Inggeris kerana ketika itu saya sudah memasang impian ke sekolah berasrama penuh.
“Saya tahu bukan mudah untuk mereka mencari rezeki disebabkan itu sebagai anak saya nekad mahu berjaya selain mendapatkan kerjaya yang baik pada masa depan sekaligus mengubah nasib keluarga,” katanya.
Terdahulu, Nur Ameera Aqielah ditemui selepas menerima sumbangan pelajar cemerlang SPM 2025 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Datuk Ngwe Hee Sem, di Japerun Machap Jaya, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia kini menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di United Kingdom (UK) sekiranya berjaya memperoleh tajaan biasiswa.
“Saya bercita-cita untuk mendapatkan tajaan biasiswa daripada sebuah syarikat telekomunikasi bagi merealisasikan impian melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer.
“Sekiranya berpeluang, saya berhasrat untuk pulang dan berkhidmat di Malaysia selepas tamat pengajian sebagai usaha menyumbang kepakaran serta teknologi kepada pembangunan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

