Samun demi dadah, ‘Geng Jeya’ tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 27 Sept. – Polis negeri menumpaskan geng samun bersenjata dikenali ‘Geng Jeya’ apabila menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan itu pada 21 September lalu.

Ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Bendahara bersenjatakan parang dan melarikan sebuah peti mesin wang mengandungi wang tunai anggaran RM576.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, melalui penahanan tiga lelaki berusia 28 hingga 43 tahun itu, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan samun, ragut dan pecah rumah yang dilaporkan sejak Julai lalu.

Menurutnya, pihak polis menerima satu laporan pada 20 September pada jam 10 pagi memaklumkan seorang pekerja kedai serbaneka disamun pada jam 5.50 pagi oleh tiga lelaki bersenjatakan parang.

WANG tunai dan barangan yang dirampas daripada suspek. Foto- PDRM

“Suspek berjaya melarikan sebuah ‘cash drawer’ mesin yang mengandungi wang tunai dianggarkan berjumlah RM576.

“Siasatan polis membawa kepada penahanan suspek lelaki pertama berusia 43 tahun pada 10.15 pagi keesokkan harinya.

“Diikuti dua lagi suspek pada hari yang sama sekitar jam 1 tengah hari di sebuah pangsapuri di kawasan Bukit Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan tangkapan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Afzanizar berkata, modus operandi samun dilakukan oleh seorang suspek yang memasuki kedai serbaneka manakala dua lagi suspek menunggu di luar bagi mengawasi keadaan.

“Turut dirampas tiga bilah parang, dua topi keledar, sebilah sabit, seutas rantai tangan, wang tunai berjumlah RM950, pakaian serta dua motosikal Yamaha 15ZR.

“Semakan rekod jenayah lampau dan ujian air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya menambah, wang samun itu dipercayai untuk diguna bagi membeli dadah.

PARANG yang dipercayai digunakan ketiga=-tiga suspek dalam kejadian samun kedai serbaneka. Foto – PDRM

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi kes samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

“Bagi kes pecah rumah, siasatan mengikut Seksyen 457 akta sama, yang mana boleh dihukum penjara 14 tahun, denda atau sebat atau kedua-duanya sekali jika disabitkan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman hingga 30 September bagi membantu siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1120
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka keluar 24 notis Seksyen 21 AKHAP 2011
Next post Lelaki OKU ditahan cuba pecah mesin ATM
Ubah saiz-+=