KPDNHEP Melaka keluar 24 notis Seksyen 21 AKHAP 2011

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 27 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 24 notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 berkaitan peningkatan harga ayam di Melaka.

Pengarahnya KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan di pelbagai peringkat rantaian bermula 8 September hingga semalam.

“Apabila 24 notis ini dikeluarkan, rata-rata peringkat rantaian dari pengeluar hingga peruncit telah menurunkan harga jualan ayam mereka di pasaran.

“Hasil pemeriksaan dan rekod didapati harga jualan terendah di peringkat peruncit adalah RM5.99 hingga RM9.50.

“Jadi, tiada lagi alasan bagi peniaga untuk naikkan harga dan satu notis makluman telah dikeluarkan kepada rantaian pengeluaran ayam bagi bekerjasama dengan kerajaan menurunkan lagi harga kos ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemeriksaan harga kawalan kit ujian pantas antigen COVID-19 di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, sehingga semalam, 25,080 premis perniagaan meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong, pengilang atau peladang telah diperiksa.

“Berkenaan isu kenaikan harga ayam, KPDNHEP Melaka telah merekodkan 553 aduan rasmi.

“Selain itu, 229 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM85,838.74 dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian ini.

“Bagi semua kesalahan itu, kompaun sebanyak RM212,150 telah dikeluarkan melibatkan semua kesalahan di bawah peruntukan undang-undang KPDNHEP,” katanya.

Norena berkata, beliau mengakui 80 peratus kenaikan harga ayam adalah disebabkan makanan ayam yang diimport dan permintaannya yang tinggi di peringkat global.

“Sebab itu, kementerian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan bekerjsama bagi mencari solusi bagi menurunkan lagi harga ayam ini.

“Pengguna juga dinasihatkan agar menjadi pengguna bijak dengan membuat perbandingan harga sebelum membeli dengan harga munasabah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Menyamar pelanggan, lelaki larikan rantai emas, dodol peniaga
Next post Samun demi dadah, ‘Geng Jeya’ tumpas
Ubah saiz-+=