Menyamar pelanggan, lelaki larikan rantai emas, dodol peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 27 Sept – Peniaga dodol bukan sahaja kerugian RM2,000 selepas rantai emas miliknya diragut, malah lelaki yang menyamar sebagai pelanggan turut melarikan dodol yang dijualnya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa, wanita berusia 54 tahun ketika itu didatangi suspek di rumahnya di Kampung Air Tanai, Ayer Pa’abas jam 11.40 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa ketika itu sedang bersendirian di rumah sebelum didatangi suspek lelaki berusia lingkungan 20-an untuk membeli dodol yang diusahakannya sejak 30 tahun lalu.

“Semasa mangsa sedang menjalankan urusan jual beli, suspek yang membeli dodol berjumlah RM30 tiba-tiba meragut rantai emas yang dipakai di leher pengadu sebelum melarikan diri bersama dodol tersebut menaiki Perodua Myvi berwarna putih.

“Dalam keadaan kelam kabut, mangsa yang tidak mengalami kecederaan tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KETUA Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Tambahnya akibat kejadian itu, pengadu mengalami kerugian dianggarkan RM2,000 selain dodolnya bernilai RM30 turut dilarikan suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebat.

“Pihak polis turut meminta saksi kejadian tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

990
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal ‘bangkit’ demi anak
Next post KPDNHEP Melaka keluar 24 notis Seksyen 21 AKHAP 2011
Ubah saiz-+=