Sorting by

×

ANUGERAH USAHAWAN MELAKA KEMBALI, 10 KATEGORI DIPERTANDINGKAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KESIDANG 21 Mei – Pencalonan bagi Anugerah Usahawan Negeri Melaka (AUNM) 2026 kini dibuka kepada semua usahawan tempatan yang berpotensi dan cemerlang dalam pelbagai bidang perniagaan.

Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin berkata, anugerah yang memasuki penganjuran tahun kedua itu antaranya bagi mengiktiraf kecemerlangan serta daya saing usahawan khususnya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, selain itu penganjuran yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan diharap dapat mengukuhkan peranan usahawan dalam pelbagai bidang industri.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri mempelawa usahawan di Melaka untuk menghantar pencalonan penyertaan yang kini sudah dibuka dan akan ditutup pada 3 Jun ini.

“Seperti penganjuran sebelum ini, untuk 2026 juga sebanyak 10 kategori dipertandingkan antaranya Usahawan Mikro; Usahawan Kecil; Usahawan Sederhana; Usahawan Belia; Usahawan Wanita; Usahawan Digital dan Inovasi; Usahawan OKU; Usahawan Industri Asas Tani (IAT); Usahawan Global dan Koperasi Terbaik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Allex, lebih 100 penyertaan diterima bagi pertandingan itu tahun lalu dan yakin jumlah tersebut akan terus meningkat pada tahun ini berikutan sambutan menggalakkan daripada komuniti usahawan di negeri ini.

“Antara syarat penyertaan yang ditetapkan setiap usahawan hanya boleh menghantar dua penyertaan atau pencalonan selain dibuka kepada semua usahawan mendaftar dengan Suruhjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain mestilah beroperasi di Negeri Melaka.

“Usahawan yang berminat boleh mendapat maklumat lanjut serta mengemukakan pencalonan menerusi platform rasmi disediakan atau berhubung dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post MELAKA SUMBANG 92 EKOR LEMBU KORBAN SEMPENA AIDILADHA