15 individu termasuk penjawat awam ditahan berparti liar, ingkar PPN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Seramai 15 individu termasuk seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dengan parti liar dan mengingkari kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara di sebuah kondominium mewah di Jalan Ceylon Residences di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua individu yang ditahan pada 1 pagi itu terdiri daripada sembilan wanita dan enam lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 45 tahun.

“Ketika serbuan didapati kesemua mereka sedang berkumpul bagi mengadakan parti liar. Semasa pemeriksaan polis turut menjumpai kesan penggunaan dadah, pembesar suara dan lampu disko. Mereka turut didapati mengingkari kawalan pergerakan kerana melakukan aktiviti sosial,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohamad Zainal. Foto – mykmu.net.

Selain itu, Mohamad Zainal berkata, 11 daripada mereka iaitu lapan wanita dan tiga lelaki didapati positif dadah hasil daripada ujian saringan air kencing.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 kerana terlibat dengan aktiviti sosial.

Beliau berkata kesemua individu itu direman selama tiga hari hingga Sabtu ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post 20,596 kes baharu COVID-19, tertinggi setakat ini
Next post Rakyat Malaysia dijangka boleh tunai umrah tahun ini
Ubah saiz-+=