15 pasar raya Melaka sertai Jualan RAHMAH, tawar potongan sehingga 30 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PENGKALAN BATU 25 Februari – Sejumlah 15 pasar raya di Melaka akan melaksanakan inisiatif Jualan RAHMAH secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, menerusi inisiatif itu pengguna akan mendapat penjimatan sehingga 30 peratus ke atas pembelian barangan yang tersenarai.

“Sejumlah lapan pasar raya termasuk pasar raya besar di Melaka melaksanakan Jualan RAHMAH yang membabitkan 24 lokasi secara serentak bermula hari ini.

“Manakala tujuh lagi premis bakal menyusul dalam masa terdekat. Namun sekiranya ada kedai runcit atau pasar mini yang ingin turut serta di bawah program ini kita amat alu-alukan.

“Lapan pasaraya yang menyertai Jualan RAHMAH ini adalah Pasar Raya AEON, Family Store, NSK, Angee, MYDIN, Jasin Point dan Merlimau Point serta Econsave,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Jualan RAHMAH Semua Pasar Raya Dan Pasar Raya Besar Secara Serentak di Melaka, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar, di sebuah pusat beli belah di Bandaraya Melaka, hari ini.

Hee Sem berkata, antara barangan keperluan yang ditawarkan terutamanya kepada golongan B40 adalah minyak masak botol (5 kilogram), bawang besar india, pelbagai jenis sayuran dan ikan bilis.

“Setiap pasar raya akan menyenaraikan 11 hingga 13 barangan keperluan yang ditawarkan dan setiap dua minggu senarai barangan ini akan berubah-ubah.

“Ini kerana kita mahukan pengguna ada pilihan untuk membuat pembelian dan kesemua pasar raya yang mengikuti program ini bersetuju,” katanya.

Ujarnya, meskipun jualan barangan tiada had dan terbuka kepada semua pengunjung pasar raya namun beliau berharap agar golongan T20 khususnya, untuk memberi laluan kepada B40 untuk membuat pembelian barangan di bawah inisiatif Jualan RAHMAH.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8435
Kongsi :
Previous post KUSKOP saran lebih banyak koperasi ternak ayam
Next post ‘Macam kena gigit semut merah..’
Ubah saiz-+=