Sorting by

×

‘Macam kena gigit semut merah..’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER MOLEK 25 Februari – “Tadi biasa sahaja, rasa macam gigit semut merah tetapi sekarang baru rasa sakit sikit,” itu kata Muhammad Al Zulkhairy Zuhry Arrassy, 10, peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Murid darjah empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang itu bersama adiknya berusia sembilan tahun antara 42 kanak-kanak yang menyertai program berkhatan beramai-ramai itu.

Katanya, walaupun ada sedikit rasa cemas dan berdebar-debar tetapi dia kuatkan diri apabila melihat gelagat adiknya yang bersahaja.

“Di dalam tadi atuk yang temankan saya. Tidaklah sakit, rasa biasa sahaja,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Ayer Molek, hari ini.

IMG-20230225-WA0014
IBU Muhammad Al Zulkhairy Zuhry Arrassy, membetulkan kain pelikat anaknya selepas selesai berkhatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek bersama Sidang-Sidang Parlimen Hang Tuah Jaya dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Ayer Molek adalah bersempena program cuti sekolah.

“Program berkhatan beramai-ramai ini adalah antara program cuti sekolah yang kita adakan dan untuk kali ini, ia membabitkan seramai 42 kanak-kanak sekitar kawasan DUN Ayer Molek.

“Menerusi program ini, ibu bapa hanya membayar RM50 sahaja bagi setiap anak manakala kos lain ditanggung oleh pihak Japerun,” katanya.

Terdahulu, anak-anak yang menyertai program itu dimandikan dengan air daripada semburan jentera bomba sebelum diarak dengan kompang ke klinik kesihatan untuk disunatkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1351
Kongsi :
Previous post 15 pasar raya Melaka sertai Jualan RAHMAH, tawar potongan sehingga 30 peratus
Next post Lelaki maut, motosikal ditunggang terbabas
Ubah saiz-+=