
151 ACARA WARNAI WRUR DUN REMBIA
RIM 31 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dijadualkan dari 3 hingga 16 Ogos ini dijangka berlangsung dalam suasana lebih meriah hasil kerjasama pelbagai pihak.
Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pelaksanaan WRUR kali ini menerima sokongan luar biasa daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan.
“Perasmian WRUR DUN Rembia dijadualkan pada 3 Ogos (Ahad) ini. Sekarang pagi, petang dan malam memang kita fokus kepada pengisian WRUR DUN Rembia sahaja.
“Setakat ini ada 151 program sudah disusun, walau bagaimanapun masih ada yang menghubungi saya bagi menyatakan komitmen mereka untuk turut serta. Saya yakin sepanjang dua minggu ini DUN Rembia akan lebih meriah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Melaka di Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JaPen Melaka, Ab Rasil Hajatil dan Pengarah Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Idopi Senin.
Fairul Nizam berkata, pelaksanaan WRUR bukan sekadar menyantuni rakyat tetapi turut memberi fokus kepada penyelesaian aduan penduduk secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Bagi saya, paling penting adalah program dijalankan benar-benar dapat dirasai dan memberi manfaat kepada masyarakat di DUN Rembia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.