PENGANJURAN WTD, WTC 2025 UKIR KENANGAN ISTIMEWA – AZHAR

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Kejayaan Melaka menganjurkan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 menjadi antara kenangan paling manis buat Datuk Wira Azhar Arshad sepanjang lebih dua tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

Azhar berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja memberi pengalaman bermakna kepada dirinya, malah membuktikan keupayaan seluruh jentera Kerajaan Negeri bekerjasama menjayakan agenda besar Melaka.

“Kenangan manis mengemudi perkhidmatan awam negeri dalam penganjuran majlis antarabangsa ini menuntut komitmen luar biasa seluruh jentera kerajaan dan merupakan pengalaman yang tidak boleh dibeli.

“Kejayaan penganjuran WTD dan WTC 2025 merupakan pengalaman dan momen indah yang paling akan saya ingat sepanjang berkhidmat di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mengimbas perjalanan perkhidmatannya di Melaka, Azhar berkata negeri ini bertuah kerana diterajui kepimpinan yang memperkenalkan pelbagai idea dan pendekatan pembaharuan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Melaka menjadi payung besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negeri terus diberi keutamaan.

“Pendekatan seperti Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Hari Exco Bertemu Rakyat Negeri Melaka (HEBAT) turut membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan pemimpin negeri, selain membolehkan tindakan penyelesaian dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Budaya kepimpinan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ pula menjadi pemangkin kepada perubahan budaya kerja dalam perkhidmatan awam negeri,” katanya.

Azhar yang bersara wajib pada 11 Ogos 2026 selepas dua tahun dua bulan menggalas amanah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pengalaman bersama seluruh jentera kerajaan dalam melaksanakan pelbagai agenda negeri akan menjadi antara kenangan yang dibawa ke fasa baharu kehidupannya.

Untuk rekod, Azhar dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa pada 24 Jun 2024. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

271
Kongsi :
Previous post KIBARKAN JALUR GEMILANG, WARNAI SELURUH MELAKA – KM
Next post EMPAT BULAN TERAKHIR 2026, KINI MASA BUKTIKAN HASIL – KM