Sesi persekolahan secara bersemuka disambung 1 Mac

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan akibat peningkatan kes COVID-19 sebelum ini, dibuka pada 1 Mac depan di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sesi persekolahan dimulai murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun dua manakala murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam pula akan mendaftar di sekolah masing-masing pada 8 Mac.

“Keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah untuk mengikuti sesi persekolahan lebih awal adalah bagi membiasakan murid dan guru dengan suasana norma baharu dan juga prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Pembukaan secara berperingkat ini juga menekankan aspek perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi memberi laluan kepada calon agar tidak menjejaskan setiap ruang fasiliti yang diambil setiap sekolah,” katanya.

Menurut Radzi, kemasukan pelajar menengah akan dilaksanakan mengikut kumpulan pelbagai negeri dengan Kumpulan A bermula pada 4 April depan, manakala Kumpulan B pada 5 April iaitu selepas taman peperiksaan SPM 2020.

“Kumpulan A membabitkan sekolah di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa berkaitan angka COVID-19, beliau berkata menjadi tanggungjawab KPM untuk menyediakan akses pendidikan dalam keadaan selamat sambil memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

“Jika ada masalah kesihatan, ibu bapa boleh maklumkan kepada pihak sekolah. Saya juga memohon kerjasama ibu bapa yang menunggu anak mereka selepas tamat sesi persekolahan untuk patuhi SOP di luar kawasan sekolah dengan mengutamakan penjarakan fizikal dan sebagainya,” katanya.

Views:

483
Kongsi :
Previous post PKPB: peniaga lega boleh makan ikut kapasiti meja di restoran
Next post Sekolah dibuka berperingkat bermula 1 Mac
Ubah saiz-+=