20 Februari, Melaka cetus fenomena

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 Februari – Tanggal 20 Februari lalu menyaksikan Negeri Melaka mencetus fenomena baharu apabila dibanjiri ratusan ribu pengunjung dan pelancong.

Ia bersempena cuti umum Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyaksikan sebanyak 11 produk pelancongan menawarkan tiket masuk percuma kepada orang ramai.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tawaran istimewa itu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila kesemua produk pelancongan itu menerima keseluruhan 109,742 pengunjung.

Malah, ujar beliau, acara kemuncak pada sebelah malam iaitu Majlis Memperingati Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 turut dibanjiri lebih 50,000 pengunjung serta pelancong dalam dan luar Melaka.

“Ini suatu program yang julung kali kita adakan dan mendapat sambutan cukup hebat. Insya-Allah ia akan dijadikan acara tahunan lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri telah mewartakan 20 Februari sebagai cuti umum yang baharu.

“Saya berharap fenomena ini dan apa yang kita lakukan di Negeri Melaka disambut Kerajaan Persekutuan (sebagai salah satu program nasional),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka di Jonker Walk, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, pihaknya akan menjalankan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti segala kelompongan yang boleh ditambah baik daripada sambutan 20 Februari lalu.

“Sudah sepertinya apa yang kita anjurkan ini adalah sesuatu yang baharu, jadi harus ada penambahbaikan dilakukan untuk masa-masa akan datang.

“Ini penting bagi memastikan keselesaan pengunjung dan pelancong lebih-lebih Melaka terkenal sebagai sebuah negeri pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

519
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka Tahun Baru Cina: Melaka ketengah konsep ‘mesra penjaja’
Next post Melaka gamit lebih 150,000 pengunjung pada 20 Februari
Ubah saiz-+=