Rumah Terbuka Tahun Baru Cina: Melaka ketengah konsep ‘mesra penjaja’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 Februari – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka 2024 mengetengahkan konsep ‘mesra penjaja’.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan julung kali diadakan di Jonker Walk membuktikan kelainan apabila ia tidak lagi menampilkan tema berbentuk jamuan, sebaliknya memperkenalkan pengagihan kupon kepada orang ramai.

Menurut beliau, kupon bernilai RM15 itu diberikan kepada 10,000 pengunjung terawal yang mana mereka boleh membelanjakannya di gerai-gerai yang terdapat di sepanjang Jonker Walk.

Jelas Ketua Menteri, usaha tersebut bukanlah memberi keuntungan kepada Kerajaan Negeri, tetapi ia lebih kepada konsep untuk membantu 323 penjaja dan peniaga di lokasi pelancongan itu untuk menjana pendapatan.

“Kupon tersebut boleh digunakan pengunjung untuk membeli makanan ‘street food’ atau menebusnya untuk membeli kraftangan tempatan sebagai cenderamata kenangan di seluruh kawasan Jonker Walk.

“Ini merupakan salah satu usaha yang akan memperkukuh keharmonian dalam kalangan penjaja, komuniti dan para pengunjung di negara kita yang kaya dengan pelbagai kaum dan etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Negeri Melaka 2024 di Jonker Walk, di sini, malam tadi.

Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

452
Kongsi :
Previous post 30,000 serbu Jonker Walk
Next post 20 Februari, Melaka cetus fenomena
Ubah saiz-+=