30,000 serbu Jonker Walk

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Februari – Dianggarkan lebih 30,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri Jonker Walk, di sini, bersempena Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Negeri Melaka 2024, malam ini.

Sambutan di kawasan tarikan pelancongan itu bagai menambahkan lagi seri kemeriahan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menariknya, rumah terbuka itu menampilkan konsep mesra penjaja dengan pengagihan kupon bernilai RM15 kepada pengunjung untuk berbelanja di gerai yang ada sepanjang Jonker Walk.

Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Sambutan yang bermula pada jam 8 malam itu dimeriahkan dengan tarian singa dan naga serta persembahan kebudayaan.

Antara persembahan menghiburkan tetamu ialah Orkestra Tradisional Cina oleh Persatuan Teo Chew Melaka, Sketsa Peranakan, Paluan Gendang 24 Musim serta persembahan wushu.

Malah, suasana turut meriah dengan hiasan ribuan tanglung yang digantung di sepanjang Jonker Walk.

Sementara itu, Ketua Menteri dalam ucapannya melambangkan sambutan itu sebagai manifestasi perpaduan kaum yang ditonjolkan di Negeri Melaka.

” Kita semua berkongsi di bawah satu payung yang sama iaitu keluarga Malaysia MADANI yang amat signifikan dengan unsur keharmonian dan kesejahteraan rakyat untuk sama-sama berganding bahu.

“Saya menyeru kepada pemimpin dan rakyat mengekalkan nilai toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum bagi meneruskan keharmonian agar pembangunan negara dapat dipacu bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1507
Kongsi :
Previous post Ah Boy lepas rindu peluk anak, isteri
Next post Rumah Terbuka Tahun Baru Cina: Melaka ketengah konsep ‘mesra penjaja’
Ubah saiz-+=